Firman Allah s.w.t:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١)
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
(٣) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ
(٤) الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)
Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
(sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan
Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Dia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah al-‘Alaq: Ayat 1-5)
Antara perkara yang membuatkan saya bahagia ialah apabila saya dapat
membaca buku. Sejujurnya saya suka membaca. Saya suka meluangkan masa yang ada
dengan membaca. Rasa lebih bahagia sekiranya segala masa yang diluangkan adalah
untuk membaca. Kalau boleh saya hendak aktiviti-aktiviti harian adalah dengan
membaca.
Sebenarnya saya rasa begitu kagum apabila mendengar cerita-cerita
orang yang dalam kehidupannya banyak membaca. Dia boleh habis baca 2, 3 buah
buku sehari. Dalam masa seminggu dapat 10 hingga ke 15 buah buku habis dibaca. Bukan
itu sahaja malah dapat membaca dengan cepat serta dapat mengingat dan memahami
maklumat yang diperolehi daripada membaca. Sungguh hebat bukan!
Membaca bukanlah aktiviti yang susah. Ambil buku, buka buku kemudian baca.
Kena memperuntukkan masa untuk membaca. Ketika membaca berusaha memahami isi
maklumat yang terdapat dalam buku. Mudah sahaja bukan. Namun, kenapa ramai yang
tidak suka membaca? Susahkah membaca? Pada pandangan saya, ini semua bergantung
kepada perasaan rajin atau malas untuk membaca. Antara mahu dan tidak mahu
membaca. Tepuk dada tanya iman.
Abdullah bin al-Amri berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat
daripada buku.”
Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal
perihal perasaan sedih dan kesepian. Lalu Imam Ahmad berkata kepada lelaki itu,
“ Ambil buku, lalu baca!”
Kenapa saya suka membaca? Apakah perkara yang membuatkan saya rasa
bahagia apabila saya membaca?
Saya membaca kerana saya ingin mendapatkan ilmu pengetahuan daripada
hasil pembacaan. Inilah cara untuk mendapatkan ilmu yang sering dilakukan oleh
pencinta ilmu dan saya ingin mencontohi mereka. Saya berazam setiap hari saya mesti
berusaha untuk mendapatkan suatu ilmu baru yang berguna dan bermanfaat. Mudah-mudahan
ilmu tersebut dapat disampaikan pula kepada orang lain dan menjadi suatu amalan
jariah.
Dari
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا
مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ
جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.
“Jika
seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu):
sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau doa anak yang soleh”. (HR.
Muslim)
Saya berasa bahagia ketika membaca kerana membaca dapat memberi banyak
manfaat kepada saya. Antara manfaat yang boleh saya kongsikan di sini adalah seperti
berikut:
- Mendapat ilmu pengetahuan. Seperti yang disebutkan tadi, salah satu
cara untuk mendapatkan ilmu adalah dengan membaca.
- Menghindari daripada kejahilan.
- Mendapat kefahaman akan sesuatu ilmu.
- Dapat memahami hikmah.
- Dapat mengambil manfaat dan pengajaran daripada buku yang dibaca.
- Otak dapat berfikir dan berfungsi dengan baik.
- Dapat Menajamkan akal fikiran dan fokus.
- Dapat memperbetul dan memperluaskan pemikiran.
- Dapat mematangkan fikiran.
- Dapat Menguatkan ingatan. Orang yang kuat membaca terhindar daripada
penyakit lemah daya ingatan.
- Mendapat banyak idea yang bernas.
- Dapat mengetahui banyak kosa kata yang baru.
- Dapat menjadikan lidah lebih fasih ketika bercakap. Kebiasaannya orang
yang banyak membaca adalah orang yang jenis visual. Orang jenis ini apabila bercakap
akan bercakap dengan fasih dan lancar.
- Dapat mengenali diri penulis buku.
- Dapat mempelajari methodologi dan pemikiran penulis buku.
- Dapat mengetahui buku-buku lain. Kebiasaannya dalam buku, penulis
memberitahu nama judul buku atau sumber yang diujuk di ruangan nota kaki dan halaman
rujukan. Ada juga penulis mengesyorkan kepada pembaca untuk membaca buku yang
telah dibaca oleh penulis sendiri serta menjadi inspirasinya.
- Dapat mengenali biografi tokoh-tokoh yang soleh, hebat dan berjaya.
- Dapat mengetahui kisah pengalaman orang lain, orang zaman dahulu dan
orang yang telah berjaya.
- Dapat mengetahui kisah sirah Islamiah dan sejarah manusia dan dunia.
- Mendapat motivasi dan inspirasi. Apabila membaca tiba-tiba rasa
semangat itu datang.
- Mendapat keseronokan dan kegembiraan.
- Dapat menghilangkam stress dan rasa bosan.
- Dapat memberi inspirasi untuk menjadi seorang penulis pada suatu hari
kelak.
- Dapat menyibukkan diri kepada perkara-perkara yang berfaedah dan menjauhi
daripada perkara-perkara yang sia-sia.
- Mendapat keinsafan, kelembutan hati, hidayah, keimanan dan ketaqwaan.
- Dapat menjadi seorang yang yakin dan berani dengan kebenaran.
- Dapat mengamalkan suruhan Allah, iaitu perintah Iqra’ sebagaimana yang
terdapat dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5.
Demikianlah manfaat yang diperoleh apabila membaca. Saya rasa cukuplah
sekadar ini dahulu. Mudahan-mudahan perkongsian pada kali ini menjadi galakan
kepada kita untuk menanam rasa minat membaca dan di samping itu kita akan terus
berusaha untuk lebih banyak membaca.
Khairul
Kamaruddin
Selangor,
25 Ogos
2018.