Laman Utama

Jumaat, 24 Ogos 2018

Kisah Kenapa Sekian Lama Saya Menyepi Daripada Posting Blog

Kali terakhir saya posting adalah pada hari Selasa 29 September 2015. Anda boleh check di link ini khairulkamaruddin.blogspot.com. Lama juga tidak posting. Boleh dikatakan hampir 3 tahun.

Insya-Allah kali ini saya akan beri komitmen supaya tidak terjadi seperti yang sebelum ini. Hal ini kerana saya tidak boleh lagi akses ke akaun blogger lama padahal email dan password saya masih ingat lagi. Oleh itu, untuk memudahkan cara saya buat yang baru.

Walaupun buat blog yang baru namun design, tema dan warna masih tetap sama. Sengaja tidak mahu ubah kerana saya mahu blog saya nampak simple. Sememangnya saya suka yang simple dan sederhana. Saya juga suka kepada warna putih dan hijau. Tengoklah, kalau saya berkelapangan untuk mengubah design kepada yang lebih menarik saya akan lakukannya pada suatu hari nanti.

Saya maklum bahawa adakalanya apabila ubah design yang lebih menarik kita akan dapat rasa suatu mood yang berbeza daripada sebelumnya, mood lebih bersemangat dan baik. Selain itu, boleh memberi inspirasi dan idea yang baru untuk menjadi seorang lebih berjaya pada masa hadapan.

Kembali kepada tajuk...ke mana saya menghilang?...kenapa saya menyepi?

Sebenarnya kisahnya bermula pada 1 September 2015 saya menghantar sepucuk surat kepada guru besar, iaitu notis sebulan untuk berhenti mengajar di SRI Al-Quran Akademi Marjan USJ 12. Jadi, 30 September 2015 adalah hari terakhir saya berkhidmat di sekolah tersebut.

Sebab saya berhenti kerana emak saya sakit. Saya kena membawa emak ke hospital untuk rawatan setiap bulan. Adik-adik yang lain tidak dapat membantu waktu itu kerana mereka ada komitmen masing-masing. Jadi, selaku anak sulung dalam keluarga saya mengambil tanggungjawab dan peranan ini.  Dalam masa yang sama saya membantu ayah berniaga. Sebelum ini emak membantu ayah berniaga di pasar pagi dan pasar malam.

Pada masa yang sama, ayah saya selalu mengadu sakit lutut sebab kena gout. Tidak larat berniaga seorang diri. Dia perlukan seseorang untuk membantunya. Jadi, sebab ini jugalah saya berhenti untuk membantu ayah saya. Waktu ini saya perlu memainkan peranan yang lebih besar supaya boleh konsisten untuk berniaga pada setiap hari. Hal ini kerana hasil pendapatan keluarga hanya bergantung kepada hasil perniagaan semata-mata. Hasil yang diperoleh pula tidak menentu.

Alhamdulillah, selama setahun saya konsisten menghantar emak ke hospital pada setiap bulan untuk rawatan susulan. Alhamdulillah, setelah selesai mengikuti beberapa siri rawatan emak saya sembuh daripada penyakit yang dialaminya. Selepas itu, emak saya boleh melakukan aktiviti rutinnya seperti biasa.

Selama setahun jugalah saya membantu ayah saya berniaga. Terdapat pelbagai kisah suka dan duka sepanjang saya berniaga. Rasanya kisah duka banyak lagi. Tapi sabar itu penguatnya.

Selepas emak dan ayah saya sihat semula dan boleh berniaga seperti biasa saya pun mencari kerja. Itu pun selepas berbincang dengan mereka. Mana tidaknya, adakah mereka larat berniaga kalau saya tidak membantu lagi? Tetapi, emak saya menyatakan bahawa demi masa depan saya lebih baik saya bekerja di bidang yang saya minat dan mahir.

Kini, alhamdulillah saya bekerja di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Bestari Lestari Perdana di Seri Kembangan. Sekolah ini merupakan sekolah yang baru dibuka. Sekolah ini mula beroperasi pada awal tahun 2017.

Oleh itu, sepanjang tahun lepas dan hinggalah masuk tahun kedua banyak tugasan yang perlu dilakukan untuk membina, membangun, mengurus dan mentadbir sekolah baru ini. Walau bagaimanapun, alhamdulillah saya suka bekerja di tempat baru ini. Di sini, saya bekerja bersama-sama dengan satu pasukan yang best dan boleh memberi kerjasama, alhamdulillah. Saya juga mengharapkan saya akan terus lama bekerja di sini, insya-Allah.

Mungkin selepas ini posting di blog saya akan ada update berita, aktiviti, atau hal-hal berkenaan SRITI Bestari. Di samping itu juga saya ingin kongsikan lebih banyak lagi di blog saya hal-hal yang berkait dengan bahan-bahan ilmiah seperti buku, hadis, artikel dan lain-lain.

Saya juga ada check beberapa website atau blog ilmiah yang dahulu selalu saya lawati untuk mengambil manfaat terutama berkait dengan ilmu, dakwah, tarbiyah dan siasah tetapi malangnya ada yang sudah hilang. Link-link website atau blog seperti demikian tidak boleh diakses lagi.

Allahu Akbar, saya rasa suatu kerugian kerana tidak dapat membaca dan mengambil manfaat daripadanya. Ilmu di alam maya juga tidak kekal lama. Akan lenyap juga pada suatu hari nanti. Oleh sebab itu, saya berhasrat ingin menyedut kembali segala maklumat yang bermanfaat di blog lama saya untuk dimasukkan ke sini. Begitu juga kalau saya terjumpa apa-apa maklumat yang bermanfaat dari website atau blog orang lain atau ilmuan-ilmuan lain akan saya ambil untuk dikongsikan di sini.

Sebagaimana terdapat dalam kitab hadis yang keluarkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah:

الكَلِمَةُ الحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Kalimat hikmah itu adalah suatu barang seorang mukmin yang hilang, maka di mana saja ia menemukannya maka ia lebih berhak mengambilnya.

Abu Isa berkata: Ini adalah hadits yang gariib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari jalur ini, dan Ibrahim bin Al-Fadh Al-Makhzumiy dilemahkan dalam periwayatan hadits dari segi hafalannya.

Meskipun hadis ini dhaif, mesej yang boleh diambil ialah kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan dan mengambil ilmu yang bermanfaat daripada pelbagai sumber dan cara. Yang penting sumber dan cara pengambilannya sesuai dengan matlamat Islam.

Bagi saya ilmu yang bermanfaat dan selagi menepati syarak maka ilmu itu sangat berguna kepada kita walaupun kita tidak apply pada hari ini tetapi kita akan apply ketika kita memerlukannya pada suatu masa nanti.

Sejujurnya saya suka kongsikan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat dengan semua orang. Diharapkan perkongsian yang baik dan bermanfaat ini akan menjadi amal kebajikan ketika di akhirat nanti.

Sekian sahaja posting saya pada kali ini. Inilah kisah kenapa sekian lama saya menyepi daripada posting blog.

Khairul Kamaruddin
Selangor,
24 Ogos 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan