Kali terakhir saya posting adalah pada hari Selasa 29 September
2015. Anda boleh check di link ini khairulkamaruddin.blogspot.com.
Lama juga tidak posting. Boleh dikatakan hampir 3 tahun.
Insya-Allah kali ini saya akan beri komitmen supaya tidak terjadi
seperti yang sebelum ini. Hal ini kerana saya tidak boleh lagi akses ke akaun blogger
lama padahal email dan password saya masih ingat lagi. Oleh itu,
untuk memudahkan cara saya buat yang baru.
Walaupun buat blog yang baru namun design, tema dan warna masih tetap
sama. Sengaja tidak mahu ubah kerana saya mahu blog saya nampak simple. Sememangnya
saya suka yang simple dan sederhana. Saya juga suka kepada warna putih dan
hijau. Tengoklah, kalau saya berkelapangan untuk mengubah design kepada yang
lebih menarik saya akan lakukannya pada suatu hari nanti.
Saya maklum bahawa adakalanya apabila ubah design yang lebih menarik kita
akan dapat rasa suatu mood yang berbeza daripada sebelumnya, mood
lebih bersemangat dan baik. Selain itu, boleh memberi inspirasi dan idea yang
baru untuk menjadi seorang lebih berjaya pada masa hadapan.
Kembali kepada tajuk...ke mana saya menghilang?...kenapa saya menyepi?
Sebenarnya kisahnya bermula pada 1 September 2015 saya menghantar sepucuk
surat kepada guru besar, iaitu notis sebulan untuk berhenti mengajar di SRI
Al-Quran Akademi Marjan USJ 12. Jadi, 30 September 2015 adalah hari terakhir
saya berkhidmat di sekolah tersebut.
Sebab saya berhenti kerana emak saya sakit. Saya kena membawa emak ke
hospital untuk rawatan setiap bulan. Adik-adik yang lain tidak dapat membantu
waktu itu kerana mereka ada komitmen masing-masing. Jadi, selaku anak sulung
dalam keluarga saya mengambil tanggungjawab dan peranan ini. Dalam masa yang sama saya membantu ayah
berniaga. Sebelum ini emak membantu ayah berniaga di pasar pagi dan pasar
malam.
Pada masa yang sama, ayah saya selalu mengadu sakit lutut sebab kena
gout. Tidak larat berniaga seorang diri. Dia perlukan seseorang untuk
membantunya. Jadi, sebab ini jugalah saya berhenti untuk membantu ayah saya. Waktu
ini saya perlu memainkan peranan yang lebih besar supaya boleh konsisten untuk berniaga
pada setiap hari. Hal ini kerana hasil pendapatan keluarga hanya bergantung
kepada hasil perniagaan semata-mata. Hasil yang diperoleh pula tidak menentu.
Alhamdulillah, selama setahun saya konsisten menghantar emak ke
hospital pada setiap bulan untuk rawatan susulan. Alhamdulillah, setelah
selesai mengikuti beberapa siri rawatan emak saya sembuh daripada penyakit yang
dialaminya. Selepas itu, emak saya boleh melakukan aktiviti rutinnya seperti
biasa.
Selama setahun jugalah saya membantu ayah saya berniaga. Terdapat pelbagai
kisah suka dan duka sepanjang saya berniaga. Rasanya kisah duka banyak lagi. Tapi
sabar itu penguatnya.
Selepas emak dan ayah saya sihat semula dan boleh berniaga seperti
biasa saya pun mencari kerja. Itu pun selepas berbincang dengan mereka. Mana tidaknya,
adakah mereka larat berniaga kalau saya tidak membantu lagi? Tetapi, emak saya
menyatakan bahawa demi masa depan saya lebih baik saya bekerja di bidang yang
saya minat dan mahir.
Kini, alhamdulillah saya bekerja di Sekolah Rendah Integrasi Teras
Islam (SRITI) Bestari Lestari Perdana di Seri Kembangan. Sekolah ini merupakan
sekolah yang baru dibuka. Sekolah ini mula beroperasi pada awal tahun 2017.
Oleh itu, sepanjang tahun lepas dan hinggalah masuk tahun kedua banyak
tugasan yang perlu dilakukan untuk membina, membangun, mengurus dan mentadbir
sekolah baru ini. Walau bagaimanapun, alhamdulillah saya suka bekerja di tempat
baru ini. Di sini, saya bekerja bersama-sama dengan satu pasukan yang best
dan boleh memberi kerjasama, alhamdulillah. Saya juga mengharapkan saya akan
terus lama bekerja di sini, insya-Allah.
Mungkin selepas ini posting di blog saya akan ada update
berita, aktiviti, atau hal-hal berkenaan SRITI Bestari. Di samping itu juga
saya ingin kongsikan lebih banyak lagi di blog saya hal-hal yang berkait dengan
bahan-bahan ilmiah seperti buku, hadis, artikel dan lain-lain.
Saya juga ada check beberapa website atau blog ilmiah yang
dahulu selalu saya lawati untuk mengambil manfaat terutama berkait dengan ilmu,
dakwah, tarbiyah dan siasah tetapi malangnya ada yang sudah hilang. Link-link
website atau blog seperti demikian tidak boleh diakses lagi.
Allahu Akbar, saya rasa suatu kerugian kerana tidak dapat membaca dan
mengambil manfaat daripadanya. Ilmu di alam maya juga tidak kekal lama. Akan lenyap
juga pada suatu hari nanti. Oleh sebab itu, saya berhasrat ingin menyedut
kembali segala maklumat yang bermanfaat di blog lama saya untuk dimasukkan ke
sini. Begitu juga kalau saya terjumpa apa-apa maklumat yang bermanfaat dari website
atau blog orang lain atau ilmuan-ilmuan lain akan saya ambil untuk dikongsikan
di sini.
Sebagaimana terdapat dalam kitab hadis yang keluarkan oleh Tirmidzi
dan Ibnu Majah:
الكَلِمَةُ
الحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Kalimat hikmah itu adalah suatu barang seorang mukmin yang hilang,
maka di mana saja ia menemukannya maka ia lebih berhak mengambilnya.
Abu Isa berkata: Ini adalah
hadits yang gariib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari jalur ini, dan
Ibrahim bin Al-Fadh Al-Makhzumiy dilemahkan dalam periwayatan hadits dari segi
hafalannya.
Meskipun hadis ini dhaif,
mesej yang boleh diambil ialah kita hendaklah sentiasa berusaha untuk
mendapatkan dan mengambil ilmu yang bermanfaat daripada pelbagai sumber dan
cara. Yang penting sumber dan cara pengambilannya sesuai dengan matlamat Islam.
Bagi saya ilmu yang bermanfaat dan selagi menepati syarak maka ilmu
itu sangat berguna kepada kita walaupun kita tidak apply pada hari ini
tetapi kita akan apply ketika kita memerlukannya pada suatu masa nanti.
Sejujurnya saya suka kongsikan perkara-perkara yang baik dan
bermanfaat dengan semua orang. Diharapkan perkongsian yang baik dan bermanfaat ini
akan menjadi amal kebajikan ketika di akhirat nanti.
Sekian sahaja posting saya pada kali ini. Inilah kisah kenapa sekian
lama saya menyepi daripada posting blog.
Khairul Kamaruddin
Selangor,
24 Ogos 2018.